Tutup

Yeo enggan ulas isu pencemaran Pasir Gudang, tumpuan pada Kempen #MyButterflyEffect

Yeo enggan ulas isu pencemaran Pasir Gudang, tumpuan pada Kempen #MyButterflyEffect
BEE YIN: Seperti yang saya beritahu setiausaha akhbar saya, saya hanya ingin fokus kepada kempen My Butterfly Effect. --fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) , Yeo Bee Yin enggan mengulas mengenai perkembangan terkini berkenaan insiden pencemaran udara di Pasir Gudang.

Beliau berkata beliau hanya ingin memberikan tumpuan kepada kempen #MyButterflyEffect untuk Pavilion Malaysia sempena Ekspo 2020 Dubai.

“Kalau saya mengulas mengenai isu Pasir Gudang, semua (pihak media) akan melapor mengenai Pasir Gudang dan bukannya mengenai ekspo ini.

“Kami membelanjakan banyak ke atas kempen ini.
“Seperti yang saya beritahu setiausaha akhbar saya, saya hanya ingin fokus kepada kempen My Butterfly Effect,” kata Bee Yin pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kempen My Butterfly Effect:Ekspo 2020 Dubai di Putrajaya pada Jumaat.

Kempen #MyButterflyEffect merupakan inisiatif bagi membuka pintu kepada perniagaan dan inovator Malaysia di Ekspo 2020 Dubai yang bakal berlangsung Oktober 2020 hingga April 2021.
Sebelum ini, Bee Yin menafikan tuduhan bahawa kementeriannya lambat bertindak menangani isu pencemaran udara di Pasir Gudang.

BACA: Pasir Gudang menangis lagi?


Tuduhan berkenaan dibuat berikutan laporan yang tersebar di media sosial yang mendakwa kilang kimia di kawasan tersebut dimiliki anak syarikat IOI Corp Berhad.

Pada Jumaat, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata 31 pelajar mengalami symptom sesak nafas dan muntah pada Khamis.

Seramai 31 pelajar daripada 11 sekolah mengalami masalah kesihatan dan daripada jumlah tersebut, 21 orang dihantar ke klinik kesihatan berhampiran bagi mendapatkan rawatan saringan dan seorang pelajar dirujuk ke Hospital Sultan Ismail untuk pemeriksaan lanjut selepas mengadu mengalami masalah kesihatan.