Bekas Menteri Hal-Ehwal Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim hari ini mengkritik tindakan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mendedahkan keterangan secara tertutup di mahkamah kepada umum.

Zaid berkata sebagai seorang peguam, Shafee sepatutnya tahu apa yang disebut di dalam mahkamah haruslah ditinggalkan di dalam mahkamah, terutamanya di dalam kes Liwat II yang sudahpun selesai dan diputuskan.

“Adalah tidak wajar untuk beliau mendedahkan butiran yang berlaku di dalam mahkamah. Beliau perlu menghentikannya.

“Ini seperti tidak menghormati keputusan mahkamah. Seperti beliau sedang cuba untuk memberi justifikasi kepada keputusannya itu,” kata Zaid kepada Astro AWANI.

Zaid berkata perkara seperti ini tidak pernah berlaku.

“Ini tidak pernah berlaku sebelum ini. Tiada peguam yang mewakili Peguam Negara pernah melakukan perkara ini.

“UMNO boleh menggunakan peguam-peguam lain sekiranya hendak memperjelaskan kes itu.

“Cuma jangan gunakan pendakwa raya kes tersebut untuk berbuat demikian,” katanya.

Sebelum ini, Shafee dikeritik hebat oleh sekumpulan peguam yang mengatakan tindakan tersebut sebagai menghina mahkamah.

Menurut laporan Malaysikini, yang mengungkap kata-kata pensyarah undang-undang Universiti Malaysia, Gurdial Singh Nijar, apabila keterangan kes didedahkan kepada umum, maka perintah mahkamah telah dilanggari.

Peguam Syahredzan Johan pula memberitahu portal itu bahawa pendedahan Shafee mengenai keterangan yang diberikan secara tertutup, sebagai perbuatan "mencemarkan nama baik atas alasan perbincangan undang-undang".

Shafee pula membalas kritikan itu dengan berkata kumpulan peguam yang mengkritiknya haruslah balik semula ke sekolah undang-undang mereka.

Shafee dilaporkan menggunakan peluang tersebut dalam satu forum anjuran Pemuda Umno untuk mendedahkan butiran sensasi berhubung kes Liwat II.

Pendedahannya itu menyebabkan ada di kalangan hadirin yang berasa malu apabila Shafee menceritakan secara terperinci perlakuan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ke atas pengadu dalam kes itu, Mohd Saiful Bukhari Azlan, antaranya Anwar “mencubit puting dada Saiful”.