Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) dipercayai akibat serangan jantung.

Menurut Pembantu Khas, Muhasdey Muhamad, Ahmad Zakiyuddin, 60 tahun, mengadu sakit dada ketika dalam perjalanan untuk menghadiri satu majlis di Institut Latihan Perindustian Kepala Batas di sini, kira-kira jam 12 tengahari Khamis.

Berikutan itu, beliau dikejarkan ke sebuah hospital swasta di Bukit Mertajam sebelum dipindahkan ke HPP.

"Beliau baru selesai menghadiri majlis di Wisma Persekutuan dan sewaktu dalam perjalanan ke majlis seterusnya, beliau memberitahu saya beliau tidak sedap dada dan minta dibawa ke hospital," kata Muhasdey dalam satu kenyataan.

Ahmad Zakiyuddin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pinang Tunggal, dipindahkan ke ICU HPP untuk rawatan lanjut. Keadaan beliau dilaporkan stabil.

Beliau kini sedang berehat dan akan menjalani rawatan koronari angioram pada Jumaat.

Ahmad Zakiyuddin antara lima muka baharu yang dilantik dalam barisan Exco kerajaan negeri selepas Pakatan Harapan berjaya mempertahankan negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Selain dilantik Timbalan Ketua Menteri I, beliau turut memegang portfolio Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat Negeri.