Pergerakan Pemuda UMNO mendakwa tiga bekas pegawai tertinggi kerajaan terlibat dalam konspirasi untuk menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Naib Ketuanya, Khairul Azwan Harun berkata, Individu yang dinamakan itu adalah bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed, bekas gabenor Bank Negara , Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan bekas peguam negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail.

"Dalam laporan itu, saya menyatakan nama tiga individu tersebut sama ada secara berseorangan atau bersama terlibat dalam satu konspirasi untuk menggulingkan Najib sebagai Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia yang sah.

"Saya mempunyai sebab-sebab untuk mempercayai individu-individu tersebut telah memberi maklumat sulit dan dokumen kepada agensi-agensi di Amerika Syarikat termasuk pihak Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

"Maklumat-maklumat dan dokumen-dokumen ini telah diberikan kepada pihak asing tanpa kelulusan yang sah oleh pihak berkuasa Malaysia yang berkenaan termasuk Jabatan Peguam Negara dan sebahagian besar daripada maklumat tersebut adalah direka, dipalsukan serta diputar belit untuk mencapai tujuan-tujuan jahat," katanya ketika semasa sidang media di pekarangan Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di sini hari ini.

Jelasnya, laporan itu bukanlah dakwaan semata-mata tanpa asas selain meminta pihak polis untuk menyiasat perkara itu dengan segera.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah mengesahkan menerima laporan itu.