Polis DiRaja Malaysia (PDRM) pada Jumaat mengeluarkan satu kompaun atas kesalahan ziarah Aidilfitri.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia sebahagian daripada 471 individu yang dikompaun atas pelbagai kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Semalam PDRM telah menahan 114 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPB. Daripada jumlah itu, seramai 108 individu direman manakala enam individu dijamin.

"PDRM turut mengeluarkan kompaun kepada 471 individu atas pelbagai kesalahan ingkar arahan PKPB.

"Daripada jumlah 300 kompaun yang dikeluarkan di Balai Polis, satu kompaun dikeluarkan atas kesalahan ziarah Aidilfitri.

"Sebanyak 171 kompaun dikeluarkan di lapangan dan daripada jumlah itu sebanyak 76 kompaun dikeluarkan di Sekatan Jalan Raya," katanya pada sidang media di sini pada Sabtu.

Justeru, beliau mengingatkan semua pihak supaya mematuhi SOP dan peraturan yang telah ditetapkan selain mengamalkan kawalan kendiri.