Jabatan Pendidikan Negeri Selangor telah mengarahkan semua rombongan sekolah ke Singapura dan Filipina dibatalkan berikutan penularan virus Zika.

Pengarahnya Mohd Salleh Mohd Kassim berkata arahan berkenaan dikeluarkan semalam kepada semua ketua Pejabat Pendidikan Daerah.

"Arahan pembatalan ini adalah untuk rombongan yang akan ke sana semasa tempoh cuti sekolah ini dan dalam masa terdekat.

"Bagaimanapun bagi rombongan yang akan ke kedua-dua negara berkenaan pada hujung atau awal tahun ini dinasihatkan menangguhkan program berkenaan sehingga virus ini dapat dikawal atau dibasmi," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan penutup program Bulan Kebangsaan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas langkah yang diambil Jabatan Pendidikan Negeri bagi mengekang penularan virus Zika di sekolah.

Tambah Salleh, pihaknya juga telah mengarahkan agar sekolah dicuci sepenuhnya sebelum sesi persekolahan bermula pada 19 Sept nanti.

Katanya cuti sekolah seminggu yang bakal bermula Isnin ini memberi masa yang cukup untuk nyamuk membiak.

Sehingga hari ini, terdapat tiga kes jangkitan virus Zika direkodkan di seluruh negara, kes pertama yang dilaporkan merupakan kes import dari Singapura melibatkan seorang wanita berumur 58 tahun dari Klang manakala kes kedua merupakan kes jangkitan tempatan di Sabah dan kes ketiga melibatkan wanita mengandung di Johor Bahru.