Selepas lebih 180 hari kehilangan pesawat malang MH370, isteri pramugara penerbangan MH370 Mohd Hazrin Hasnan, Intan Maizura Othaman, 34, masih menaruh harapan tinggi untuk menanti kepulangan suaminya sama ada masih hidup atau 'sudah tiada lagi'.

Ujarnya, keluarga penumpang dan krew pesawat MH370 sentiasa menanti kepulangan insan tersayang walau apa terjadi kepada mereka sejak peristiwa malang 8 Mac lalu.

"Kalau mereka hidup bawa mereka balik, kalau mereka sudah tiada bawa mereka pulang seperti MH17 kerana mereka juga manusia," katanya dalam sistem pesanan WhatsApp kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Anak Intan, Iman, 5, sebelum ini dilaporkan terpaksa mendapatkan khidmat kaunselor ekoran emosinya kerap terganggu kerana terlalu rindukan ayahnya.

Tambah Intan, media juga harus sensitif dalam melaporkan apa yang benar-benar disebut oleh waris mangsa MH370.

"Hendak tulis boleh tapi jangan menambah ya," jelasnya.

Sebelum ini Intan juga pernah menyatakan tidak ada yang lebih berat daripada beratnya menanggung kesakitan kehilangan MH370.

Intan turut menyatakan keyakinan tidak percaya pesawat yang membawa suaminya yang lebih mesra dipanggil `Rain' itu berakhir atau hilang di Lautan Hindi.

Dalam pada itu, suami kepada seorang penumpang MH370, Azrai Izet mahu rakyat negara ini mendoakan kebahagiaannya dan keluarga di dunia dan di akhirat.

Azrai sebelum ini pernah meluah perasaan terhadap pihak mana yang harus bertanggungjawab terhadap keseluruhan kejadian.

Pada Sabtu, Perdana Menteri Australia Tony Abbott dalam lawatan ke ibu negara berikrar akan membantu negara untuk merungkai misteri kehilangan MH370.

Jelasnya, usaha pencarian baharu pesawat itu telah ditingkatkan dengan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan Malaysia dan Australia Ogos lepas.

MH370, hilang pada 8 Mac kira-kira sejam selepas berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Lebih 26 negara terlibat dalam usaha mencari pesawat Boeing 777 itu melalui udara, laut dan dasar laut. Namun selepas enam bulan, tiada sebarang petunjuk dapat dikesan.

Terlampau banyak teori konspirasi tentang kejadian itu antaranya rampasan dan sabotaj ke atas pesawat yang membawa 239 penumpang itu.