Kemungkinan penemuan serpihan pesawat di permukaan laut adalah tipis

Demikian kata Perdana Menteri Australia, Tony Abbott megnenai misi pencarian serpihan pesawat MAS MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu pada sidang taklimat bersama media di Perth, Australia pada Isnin.

Abbot menambah, misi pencarian kini telah memasuki fasa baru dimana setakat ini, pencarian menerusi udara, permukaan mahupun dalam laut masih belum berhasil.

“Perlu saya katakan di sini bahawa kemungkinan untuk menjumpai serpihan di permukaan laut adalah tipis,” kata Abbott.

Abbott menerangkan bahawa misi pencarian baru ini akan memberi fokus kepada satu kawasan yang lebih luas di dasar laut.

“Apa yang kami akan lakukan sekarang adalah memulakan fasa baru dengan memberi fokus kepada dasar laut. Kenderaan dasar laut Bluefin-21 akan meneruskan operasi.

“Kami sedang mengkaji untuk memperhebatkan pencarian dalam laut melibatkan pelbagai teknologi berbeza terutama menggunakan peralatan imbasan sonar yang khusus bagi mengimbas dasar laut dalam mencari serpihan,” tambahnya.

Abbott menambah, kerajaan Australia dan kerajaan Malaysia akan mendapatkan khidmat satu atau lebih syarikat komersil untuk meneruskan kerja-kerja ini.

“Kerja ini boleh dijalankan di bawah kontrak dengan kerajaan Australia.

“Ini mungkin mengambil masa selama beberapa minggu untuk memulakan aturan kontrak baru untuk pencarian dasar laut dipergiatkan,” kata Abbott.

Abbott berkata pasukan mencari dan menyelamat kini telah mencari di kawasan seluas 400 kilometer persegi di dasar laut.

Pada dasarnya, apa yang kami ingin lakukan adalah menjalankan pencarian dasar laut yang menyeluruh dan jika perlu termasuklah seluruh kawasan yang ada mempunyai kemungkinan tinggi iaitu secara kasarnya 700 kilometer x 80 kilometer,” tambahnya.

Beliau turut menambah, ketika aturan kontrak baru itu dimulakan, beberapa kapal dari Australia, Malaysia dan China akan meneruskan operasi Maritim untuk mengekalkan kesinambungan dan momentum.