Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) telah mengumumkan fasa pencarian baharu dalam misi mencari penerbangan Malaysia MH370 yang hilang sejak 8 Mac.

Memetik laporan portal berita The Guardian, misi pencarian dasar laut yang baharu masih di kawasan lautan Hindi, namun lokasinya adalah ratusan batu ke selatan dari kawasan pencarian sebelum ini.

Ketua Pesuruhjaya daripada ATSB Martin Dolan berkata fasa terbaharu akan memberi fokus kepada kawasan berkeluasan 23,000 batu persegi (60,000 km persegi) dan menggunakan peralatan sonar berkuasa tinggi untuk mencari pesawat MH370.

Kawasan pencarian baharu tidak berdasarkan data terkini, tetapi pada analisis maklumat satelit setia ada.

"Trend analisis ini akan bergerak ke kawasan selatan dari kawasan pencarian sekarang," kata Dolan kepada portal berkenaan. "Namun kami sedang menentukan jarak yang tepat.”

"Ini adalah satu analisis yang sangat kompleks dan terdapat beberapa cara berbeza mengkajinya. Para pakar telah menggunakan beberapa kaedah yang berbeza dan membawa semua hasil kerja itu untuk mendapatkan pandangan konsensus sebelum keputusan dimuktamadkan," kata beliau.

Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) sebelum ini pernah berkata, tindakan memindahkan operasi pencarian ke kawasan baharu bukan perkara luar biasa.

Sebaliknya, menurut Pengurus Besar Bahagian Respons Kecemasan, John Young, perkara seperti itu sentiasa berlaku dalam sebarang misi mencari dan menyelamat (SAR).

Katanya lagi, langkah itu seiring dengan maklumat baharu yang diterima ketika operasi dijalankan.

Kerajaan Malaysia setakat ini telah membelanjakan kira-kira RM27.6 juta dalam usaha mencari pesawat tersebut, namun ia hanyalah sebahagian kecil daripada jumlah yang telah dibelanjakan oleh kerajaan Australia.

Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pukul 6.30 pagi hari yang sama.

Pada 24 Mac, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan MH370 'berakhir di selatan Lautan Hindi'.