Dua calon bukan Islam dari Dewan Himpunan Penyokong Pas Pusat (DHPP) diumumkan untuk bertanding satu kerusi DUN dan Parlimen milik Pas Johor.

Tidak mengganggap isu berlainan kaum akan menjejaskan sokongan pengundi kepada mereka.

Calon P148 Parlimen Ayer Hitam, Hu Pang Chaw yang lebih 10 tahun bersama DHPP menganggap perjuangan Pas adalah relevan untuk semua kaum dan bukan hanya kepada Islam.

“Saya mahu tegaskan di sini, walaupun saya berbeza bangsa, berlainan agama dan budaya tetapi soalnya perjuangan yang dibawa oleh Pas oleh ahli Pas adalah relevan untuk semua kaum di negeri ini, baik bangsa Melayu, Cina , India, Iban, Kadazan dan Dayak. Ini bukan satu isu. Kita mahu membuktikan bahawa perjuangan yang dibawa oleh Pas adalah perjuangan yang mampu menyatupadukan semua masyarakat di Johor ataupun Malaysia" tegas calon P148, Hu Pang Chaw.

Bagi calon DUN N40 Tiram, R. Kumutha yang pernah kalah pada pilihan raya umum 2008 ketika bertanding di tempat yang sama menganggap semua kaum adalah sahabat dan yakin boleh menggalas tugas yang diberikan kepadanya kelak.

Mereka merupakan orang bukan Islam yang pertama menjadi calon bertanding di bawah tiket parti Islam tersebut.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat di Johor Bahru pagi tadi.