Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhamad Taib hari ini secara sah menyertai Pas dan berikrar akan membantu kempen parti Islam itu ke arah perubahan yang berlandaskan kepada roh Islam.

Katanya, beliau masuk Pas bukan kerana mengejar jawatan ataupun untuk jadi calon dalam pilihan raya dan kerana itu mahu pengumuman mengenainya dibuat selepas penamaan calon.

Tan sri Muhammad Taib
Gambar Ihsan Mohd Nasir Sudin

"Saya fikir sekarang sampai masanya satu perubahan dilakukan supaya pengisian pembangunan yang dinamik mesti ada rohnya," kata Muhammad dalam satu sidang media di ibu pejabat Pas di sini, hari ini.

Beliau yang pernah jadi Menteri Besar Selangor antara 1986 hingga 1997 menambah, hanya Pas saja yang boleh membangkitkan kesedaran tersebut dan beliau mesti menyokong sebuah parti yang boleh menjadi negara ini sebuah negara contoh.

Katanya, Islam mesti berkembang di bandar kerana orang Melayu pada masa ini sudah ramai tinggal di bandar dan bandar-bandar besar termasuk Shah Alam mesti jadi penunjuk jalan kepada syiar Islam.

Pada sidang media itu, Muhammad menyerahkan borang permohonan menjadi ahli Pas kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau juga difahamkan sudah menyerahkan surat kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk memaklumkan bahawa tidak lagi bersama parti itu.

Muhammad, 68, bergiat dalam politik sejak empat dekad lalu dan pernah jadi Naib Presiden UMNO antara 2000-2003 dan kemudian dilantik sebagai Ketua Penerangan parti selama setahun antara 2008 hingga 2009.

Sementara itu, Abdul Hadi menjelaskan bahawa pengumuman penyertaan Muhammad ke dalam Pas itu hanya dibuat pada hari ini untuk mengelak tanggapan bahawa bekas orang kuat Selangor itu mahu jadi calon dalam pilihan raya ini.

Muhammad juga menjelaskan perkara yang sama dan memaklumkan bahawa hasrat beliau untuk menyertai Pas sudah dibincangkan dengan kepimpinan parti Islam itu sejak setahun yang lalu.

"Memang saya setuju dibuat selepas penamaan calon supaya mengelak tohmah bahawa ini untuk jadi calon kerana saya tiada hajat untuk jadi calon atau pegang jawatan," katanya.

Muhammad bagaimanapun tidak menjawab sebarang soalan daripada media.