Arkitek tersohor, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad secara rasmi diumumkan sebagai calon Pas yang akan bertanding atas tiket parti tersebut di kerusi parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) .

Kerusi parlimen Kuala Terengganu sebelum ini disandang oleh Pesuruhjaya Pas Terengganu, Wahid Endut yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam. Wahid dikatakan mengambil keputusan untuk tidak bertanding dalam PRU-13 atas faktor kesihatan.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu sidang media di ibu pejabat Pas, di sini hari ini.

Pada sidang media itu juga, Abdul Hadi secara rasmi mengumumkan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Fauzi Shaari bertanding di Parlimen Larut dan manakala penyanyi Wan Aishah Wan Ariffin atau Aishah bertanding di Parlimen Jempol.

Abdul Hadi juga turut mengumumkan Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu bertanding kerusi Parlimen Pendang manakala Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa akan mencuba nasib di kerusi Parlimen Putrajaya.

Pas Pusat memutuskan untuk meletakkan Husam bertanding di kerusi tersebut dibuat setelah Pas Kawasan Putrajaya menyerahkan nama beliau untuk dicalonkan.

Seorang lagi Naib Presiden Pas, Salahudin Ayub pula akan mencuba nasib di Parlimen Pulai selepas memutuskan untuk kembali bertanding di negeri kelahirannya.

Manakala Abdul Hadi dan seorang lagi Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar akan mempertahankan kerusi parlimen masing-masing di Marang dan Pokok Sena.

Sementara itu, Husam dalam ucapan ringkasnya menjelaskan bahawa beliau menerima pencalonan tersebut biarpun sedar risiko besar yang bakal dihadapinya di Putrajaya yang dikatakan kubu kuat Barisan Nasional.

"Ramai yang menasihatkan saya supaya tidak bertanding di Putrajaya kerana ia dianggap boleh 'membunuh' saya.

"Namun saya menerima pencalonan ini biarpun sedar risiko besar yang bakal saya hadapi," katanya.

Dalam nada merendah diri, Husam mengakui kesukaran yang bakal dihadapinya jika terpaksa berdepan dengan penyadang kerusi parlimen tersebut, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Yaakob.

"Ku Nan merupakan seorang tokoh yang sangat hebat dan seorang strategis yang pintar. Saya amat menghormatinya," katanya lagi.

Dalam pilihan raya umum yang lalu, Tengku Adnan menang mengalahkan Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan, Mohamad Noor Mohamad dengan majoriti 2,734 undi.

Bagi Salahudin pula, percubaannya untuk bertanding di Johor pada kali ini dibuat kerana menyedari negeri tersebut memainkan peranan penting dalam usaha Pakatan Rakyat menewaskan Barisan Nasional (BN).

"Agak sukar untuk Pakatan Rakyat menawan Putrajaya jika Johor tidak memainkan peranannya.

"Jadi saya memilih bertanding di negeri kelahiran saya kerana ia memainkan peranan penting dalam mengubah landskap politik negara," katanya.

Salahudin sebelum ini merupakan ahli Parlimen Kubang Kerian yang dimenanginya selama dua penggal sejak 2004.

Berikut senarai calon Pas bagi kerusi Parlimen yang diumumkan parti itu hari ini:

calon pas