Kedudukan Che Johan Che Pa, dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) jadi tanda tanya, selepas beliau gagal menghantar borang pencalonannya ketika proses penamaan calon P22, Parlimen Pasir Mas. Beliau menarik diri, kurang 24 jam selepas membuat penafian mengenai desas-desus tindakannya itu kepada Astro Awani.

Ini adalah kali pertama seorang calon yang menerima surat watikah pelantikan daripada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak, tidak mengemukakan permohonannya, biarpun beliau hadir ke pusat penamaan dan sempat duduk di kerusi yang dikhaskan untuk calon, bersama-sama pencadang dan penyokong.

Senario ini tidak pernah berlaku, sepanjang saya membuat liputan pilihan raya. Selalunya, percaturan untuk memberi laluan atau ‘back door deal’ dibuat secara terhormat; sama ada permohonan seseorang menjadi calon ditolak, contohnya hilang kelayakan kerana muflis atau calon umum menarik diri sebelum hari penamaan.

Tetapi, hakikatnya, Che Johan memilih untuk menarik diri pada saat-saat akhir. Lebih mengejutkan, tindakan itu tidak diketahui oleh kepimpinan tertinggi BN Kelantan, yang sekadar mengetahui perkembangan menerusi laporan media.

Keputusan Che Johan turut menghairankan penyandang kerus parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali. Biarpun mengakui tindakan itu sesuatu yang berisiko, Ibrahim mengutuskan ucapan terima kasih kerana menyifatkan keputusan Che Johan adalah untuk kepentingan BN. Ini kerana matlamat mereka adalah sama iaitu untuk menumbangkan Pas di Kelantan.

Ibrahim adalah mentor Che Johan dalam politik. Ramai penganalisis politik tak bertauliah, sejak awal menjangkakan dia tidak akan ke gelanggang yang sama dengan individu yang memperkenalkan beliau ke kancah politik. Senario ini umpama amalan dalam sukan karate-do. Dalam sesuatu perlawanan (sparring), karate-ka (atlet karate) yang secara tidak sengaja dijadual bertarung dengan sensei (guru), tidak akan memasuki gelanggang. Sebaliknya, jika wisel menandakan pertarungan bermula, anak murid hanya akan melutut membelakangkan senseinya. Ini memberi petunjuk, pertarungan itu tidak akan berlaku, sebaliknya, sensei akan diisytiharkan menang. Biarpun tewas tanpa bertanding, karate-ka itu diangkat, kerana integriti, dan prinsip menghormati sensei.

Tetapi dalam politik, amalan itu tidak praktikal. Tindakan itu satu keingkaran kepada amanah pucuk pimpinan parti, dan dikatakan salah satu bentuk sabotaj yang merosakkan peluang BN di Kelantan. Tetapi Che Johan bertegas, beliau ada alasan kukuh yang menghalalkan keputusannya.

Sebagai anak didik Ibrahim, Che Johan sepatutnya belajar daripada kesilapan gurunya yang dipecat seumur hidup daripada UMNO kerana bertanding pada pilihan raya umum 2004 sebagai calon bebas. Itu bukti jelas hukuman yang dikenakan kerana khianat kepada parti, seperti tindakan beliau memberi laluan mudah kepada pencabar.

Che Johan agak bertuah, kerana masih mempunyai masa memikirkan tindak tanduknya. Dia tidak dipecat serta-merta. Sebaliknya Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamad dalam reaksi segera, memaklumkan tindakan Che Johan itu akan dibincangkan oleh BN Kelantan.

Sayang sekali, peluang jadi calon tidak datang selalu. Ada pemimpin yang beria-ia mahu jadi calon wakil rakyat, tetapi tidak diberi peluang. Che Johan ada peluan keemasan, tetapi disia-siakan, kerana mempertahankan prinsip peribadi. Sayang sekali, Che Johan Che Pa tiba-tiba jadi perhatian di pentas politik nasional, tetapi bukan kerana keberaniannya bertanding nama-nama besar di kerusi Parlimen Pasir Mas, tetapi kerana enggan tempur sebelum perlawanan bermula.

Tunggu sahaja keputusan pucuk pimpinan parti.

Dalam hal ini, sesuai benar kalau ditujukan pepatah Melayu kepada Che Johan: “Menyesal dulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna.”