Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapha Mohamed menegaskan bahawa kepimpinan tertinggi BN Kelantan tidak dimaklumkan mengenai keputusan calon BN, Che Johan Che Pa untuk tidak bertanding di kerusi Parlimen Pasir Mas.

"BN Kelantan memandang serius isu ini," katanya dalam satu kenyataan ringkas yang dikeluarkan dari Jeli.

Jelas Mustapha, BN Kelantan terkejut dengan keputusan Che Johan itu dan merujuk kes tersebut kepada Lembaga Disiplin.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan kerusi itu akan ditandingi antara calon bebas yang juga penyandangnya, Datuk Ibrahim Ali dengan calon Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz selepas Che Johan yang hadir di pusat penamaan calon tidak menyerahkan borang pencalonannya.




Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas itu kemudian memohon maaf kepada pucuk pimpinan parti atas tindakannya menarik diri dan sedia menerima apa juga hukuman tatatertib daripada parti kerana tindakan luar jangka itu.

Sebelum ini ada desas-desus kononnya Che Johan mungkin akan menarik diri untuk memberi laluan kepada Ibrahim yang juga "guru politik" beliau bertanding. Namun, dalam kenyataannya kepada Astro AWANI, beliau menafikan desas-desus itu.


Ibrahim dalam reaksinya berkata, tindakan Che Johan itu agak mengejutkan kerana ia berisiko. Namun beliau menghargai apa yang dilakukan oleh "anak murid"nya itu kerana memberi peluang kepada beliau untuk selesa bertanding satu lawan satu.


Ibrahim yang juga Presiden Perkasa sebelum ini kecewa dengan BN kerana tidak menyenaraikan beliau sebagai calon sedangkan pada masa sama, menamakan Naib Presiden pertubuhan itu, Zulkifli Noordin sebagai calon di Shah Alam.