Bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Mohd Shariff Omar malam tadi mengumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Tasek Gelugor pada pilihan raya umum ke-13 ini.

Beliau bagaimanapun tidak mengesahkan akan bertanding atas tiket apa tetapi membayangkan tidak mustahil akan turun sebagai calon bebas yang mesra Pakatan Rakyat.

"Pakatan Rakyat ada tiga komponen. Saya boleh bertanding di bawah DAP, PKR atau Pas. Pemimpin-pemimpinnya kawan-kawan saya," katanya dalam satu majlis bersama lebih 1,000 penyokongnya di Pokok Machang di sini, malam tadi.



Shariff yang menjadi anggota kerajaan semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi jadi Perdana Menteri membuat pengumuman itu setelah kecewa kerana namanya tidak disenaraikan sebagai calon Barisan Nasional.

Pada pilihan raya umum 2008, Shariff memberi laluan kepada Tan Sri Nor Mohamed Yakcop untuk bertanding di kerusi parlimen berkenaan atas permintaan Tun Abdullah.

Nor Mohamed menang mengalahkan calon Pas, Ismail Salleh dengan majoriti 4,547 undi.

Pada pilihan raya umum 2004, Shariff menang kerusi itu apabila mengalahkan Timb. Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Dr. Mujahid Yusof Rawa dengan majoriti yang lebih besar, 10,183 undi.

BN meletakkan ADUN Permatang Berangan yang juga Ketua Bahagian UMNO Tasek Gelugor, Shahbudin Yahya sebagai calon bagi kerusi Parlimen Tasek Gelugor.

Lawannya nanti dijangka tokoh korporat yang juga bekas Presiden Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang (DPMPP), Datuk Abdul Rahman Maidin yang diumumkan sebagai calon Pas, minggu lalu.

Bekas pengerusi konglomerat media Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) yang pernah menguasai saham terbesar dalam Syarikat Televisyen Malaysia Berhad (TV3) itu menyertai Pas pada awal Disember tahun lalu.

Kerusi Parlimen Tasek Gelugor mempunyai tiga kawasan DUN iaitu Permatang Berangan, Sungai Dua dan Teluk Air Tawar.

Calon BN bagi kerusi DUN Permatang Berangan ialah muka baru, Yusof Mohd Noor manakala calon bagi kerusi DUN Sungai Dua, juga seorang muka baru, Omar Abdul Hamid. BN mengekalkan Datuk Jahara Hamid untuk mempertahankan kerusi DUN Teluk Air Tawar.

Shariff yang jelas kecewa dengan keputusan BN mengetepikan beliau mendakwa masih mendapat sokongan dan kepercayaan akar umbi dan kerana itu nekad mahu bertanding dalam PRU-13 ini.

Beliau juga menegaskan tidak gentar dengan tindakan yang bakal dikenakan ke atasnya ekoran tindakan bertentangan dengan UMNO dan BN serta menjejaskan kepentingan parti.

Lembaga Disiplin UMNO sebelum ini telah melantik pemantau di setiap kawasan parlimen dan dewan undangan negeri bagi melaporkan kes sabotaj parti untuk tindakan disiplin lebih awal diambil terhadap ahli-ahli parti yang terlibat.

Tindakan itu termasuk dipecat daripada parti atau digantung keahlian.

Lembaga Disiplin UMNO juga sudah menyiapkan kaedah untuk mempercepatkan proses keputusan dan hukuman melalui sebuah jawatankuasa khas yang dianggotai oleh empat wakil Majlis Tertinggi UMNO dan empat wakil Lembaga Disiplin.

Jawatankuasa khas itu dipengerusikan oleh Tengku Ahmad Rithauddeen selaku Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO.