15 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perikatan Nasional hari ini mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob bagi mempersembahkan Akuan Bersumpah (SD) yang baharu.

Rombongan diketuai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh itu tiba kira-kira jam 3.45 petang di Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT) di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh dengan menaiki sebuah bas persiaran.

Hanya berselang beberapa minit, dua Adun Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan Datuk Noor Effandi Ahmad kelihatan tiba bagi menghadap Tun Mohd Khalil.

Difahamkan, perbincangan itu bagi mengakhiri episod kemelut siapa calon Ketua Menteri Melaka yang baharu.

Perikatan Nasional dikatakan akan mengadakan sidang media sejurus selesai pertemuan itu.

Sehingga kini, belum ada nama calon Ketua Menteri Melaka yang baharu diumumkan meskipun Istiadat Pengurniaan Suratcara Perlantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ketua Menteri Melaka ke-12 bakal dilangsungkan esok (Jumaat).