Lima belas Ahli Parlimen pembangkang hari ini mengalu-alukan mana-mana pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang ikhlas dan sedar kehilangan kepercayaan rakyat terhadap visi kerajaan dalam mentadbir negara untuk menyertai UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Jelas mereka, ia usaha bersama untuk memulihkan semula negara yang berdepan pelbagai masalah sejak PH memerintah selain mengembalikan negara pada landasan yang boleh menjamin masa depan rakyat, anak dan cucu cicit semua.

"Seperti dinyatakan tujuh Ahli Parlimen BN semalam, kami turut menafikan dakwaan kononnya pemimpin UMNO sudah hilang parti dan tidak pasti apa perlu dilakukan, sama ada hendak lompat parti atau tidak.

"Kami boleh sahkan, tidak pernah sekalipun pendirian sedemikian disebut oleh mana-mana Ahli Parlimen BN semasa pertemuan tersebut.

"Sebaliknya, pertemuan tersebut dikhususkan bagi membincangkan isu di kawasan Parlimen masing-masing serta usaha memastikan segala kepentingan dan keperluan rakyat dapat dipenuhi sebaiknya," jelas mereka dalam satu kenyataan bersama di sini, pada Sabtu.

BACA: Ahli Parlimen BN jemput Azmin masuk UMNO

Lima belas Ahli Parlimen BN itu adalah Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman, Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias, Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin, Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Selain itu nama Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said, Ahli Parlimen Jempol, Datuk Salim Sharif, Ahli Parlimen Grik, Datuk Hasbullah Osman, Ahli Parlimen Parit,
Datuk Mohd Nizar Zakaria, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid, Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah, Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib, Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris dan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor turut berada di dalam kenyataan berkenaan.

Pada Jumaat, tujuh Ahli Parlimen BN menjemput Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk menyertai UMNO kerana yakin rakyat kini dilihat lebih mempercayai gabungan tersebut.

Dalam pada itu, 15 Ahli Parlimen BN itu turut mengakui tidak langsung berniat untuk meninggalkan parti mahupun menyertai parti lain.

"Berhubung isu peralihan kuasa, ia juga langsung tidak dibincangkan semasa pertemuan tersebut.

"Perihal peralihan kuasa ini hal dalaman PH. Ia tiada kena mengena dengan kami sebagai Ahli Parlimen pembangkang," ujar mereka.