Seramai 150 ahli UMNO Bahagian Sepanggar keluar parti itu untuk menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan) malam tadi.

Tindakan itu diketuai oleh tujuh Ahli Jawatankuasa Bahagian UMNO Sepanggar termasuk Azhar Matussin, Sahar Mantamin, Jamrin Wahid, Zaidi Atoh dan Ladis Idris serta Ketua Penerangan UMNO bahagian Kota Kinabalu, Datuk Junaidi Rahman.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, beliau yakin lebih ramai lagi ahli UMNO membabitkan AJK dan cawangan akan keluar untuk menyertai parti itu dalam tempoh terdekat ini.

Bagaimanapun, ketika ditanya jika penyandang Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Jumat Idris akan turut berbuat demikian, Mohd Shafie berkata tiada perundingan dilakukan setakat ini dan beliau menyerahkan sepenuhnya keputusan itu kepada Jumat.

"Itu terserah dengan dia. Dalam politik ni, saya tidak mahu paksa orang. Kalau dia nak masuk (Warisan), masuklah. Kita tidak boleh tolak sesiapa yang hendak masuk parti sebab dia akan menguatkan parti kita.

"Kita boleh terima sesiapa yang hendak masuk parti Warisan, tidak ada syarat," katanya dalam sidang media bersempena Program Santai PDM Kampung Likas, Kota Kinabalu, pada Rabu.

Sebelum ini, terdapat spekulasi mengatakan Jumat, yang keahliannya dalam UMNO masih tergantung setakat ini, dijangka akan keluar parti selepas kedudukannya sebagai calon kerusi parlimen berkenaan cuba diambil alih oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang kini giat menjalankan siri jelajahnya di Sepanggar sejak akhir bulan Februari lalu.

Sementara itu, Mohd Shafie turut mengingatkan pemimpin-pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS) yang juga parti komponen dalam Barisan Nasional (BN), supaya berhenti menjadi mangsa buli UMNO susulan kenyataan kontroversiTimbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyuruh parti itu 'meminjamkan' kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Matunggong, dalam satu majlis baru-baru ini.

Beliau turut menyeru kepada Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, supaya tidak lagi menunggu dan keluar daripada BN susulan insiden berkenaan.

"Datuk Zahid cakap di Kota Marudu, bagi pinjam Matunggong kepada UMNO. Itu kerusi PBS. Inilah UMNO membuli parti Sabah.

"Pairin, apa lagi kau mahu tunggu? Keluarlah," Mohd Shafie berseloroh dalam ucapan berkenaan.