Seramai 16 ahli UMNO memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) dan UMNO bagi memohon perisytiharan bahawa parti itu tidak sah kerana melanggar perlembagaannya.

Kesemua individu berkenaan selaku plaintif memfailkan permohonan itu secara sebelah pihak di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui firma guaman Tetuan Haniff Khatri dengan menamakan RoS dan Datuk Ab Rauf Yusoh selaku pegawai awam UMNO sebagai responden.

Mereka adalah Ketua UMNO Cawangan Seri Merpati, Salihudin Ahmad Khalid,51; selain ahli UMNO biasa dari enam negeri iaitu Noor Halimi Yahya, 53; Mariam Mohd Ishak, 55; Mohd Hafami Haniff,49; Saharudin Tukiman, 42; Azaid Jani, 34; Normalawati Hassan, 30; Radiana Abd Manaf, 35; Mohd Rafeek Rahim, 37; Nurul Hanna Mohd Suhot, 37; Kamarul Abd Wahid, 45; Mohd Hikamal Md Hassim, 49; Muzamzamir Abd Wahab, 41; Norizam Jamaludin, 50; Rohani Ahmad, 40; dan Muhamad Hafizi Hashim, 30.

Kesemua pemohon memfailkan tindakan itu kerana kegagalan parti itu mengadakan pemilihan UMNO di semua peringkat adalah melanggar perlembagaan parti tersebut.

Mereka mendakwa menurut peruntukan Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO, tarikh pemilihan bagi semua peringkat cawangan UMNO adalah pada 31 Ogos 2016 namun dilanjutkan secara maksima selama 18 bulan kepada tarikh 28 Februari 2018.

Bagaimanapun dakwa mereka, RoS memberikan lanjutan masa bagi tempoh pemilihan semua peringkat UMNO yang diumumkan RoS sendiri melalui kenyataan media bertarikh 5 Mac lalu.

RoS pada 5 Mac lalu membenarkan permohonan UMNO untuk melanjutkan tempoh mengadakan pemilihan di semua peringkat melebihi 18 bulan dari tarikh pemilihan sehingga 19 April 2019.

“Menurut Fasal 15.3 dan Fasal 18.2 Perlembagaan UMNO, pemilihan cawangan dan bahagian UMNO wajib diadakan setiap tiga tahun manakala menurut Fasal 9.3 perlembagaan sama, pemilihan peringkat Majlis Tertinggi wajib diadakan tiga tahun sekali,” dakwa mereka.

Sehubungan itu pemohon memohon perintah bagi mewajibkan RoS menjalankan siasatan dan memberi maklum balas bertulis terhadap surat aduan berhubung kesahihan dan kedudukan parti sebagai sebuah parti politik yang berdaftar.

Mereka juga turut memohon perintah bagi mewajibkan RoS mengambil tindakan terhadap UMNO kerana melanggar Fasal 9.3, Fasal 9.4, Fasal 15.3, 18.2 dan Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO, berhubung tempoh perlanjutan masa yang dibenarkan.