Presiden Parti Islam SeMalaysia (Pas), Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan hutang negara perlu dijelaskan oleh parti yang memerintah memandangkan mereka mempunyai kapisiti untuk menguruskan harta negara.

Menurutnya lagi, isu hutang yang terkait dengan syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah masalah negara yang perlu diselidik dan diselesaikan.

“Pas sendiri pernah memerintah negeri yang mempunyai hutang seperti Terengganu dan Kelantan,” katanya semasa temu bual khas bersama Astro AWANI hari ini.

Namun begitu, Abdul Hadi turut berpendapat tidak wajar jika Pas hanya memandang keburukan Barisan Nasional tanpa melihat kepada hal positif yang dilakukan parti itu sepanjang pemerintahannya.

“Kita tidak boleh menyalahkan satu pihak sahaja, semua pihak ada kesilapan dan perlu bertanggungjawab.

“Kalau kita kerajaan, kitalah yang akan menggalas tanggungjawab (melunaskan hutang) itu,” katanya.



Terdahulu, Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyifatkan kekalahan Pas pada pilihan raya kali ini mempunyai hikmah tersendiri.

Mohd Amar secara berseloroh menyatakan Pas memberi ruang kepada kerajaan baharu untuk melunaskan hutang negara terlebih dahulu sebelum digantikan Pas lima tahun akan datang.

TONTON: Guan Eng sahkan jumlah hutang, liabiliti kerajaan lebih RM1 trillion