20 anggota MPP PKR tolak pemecatan Zakaria

20 anggota MPP PKR tolak pemecatan Zakaria
Selain Azmin dua daripada 20 Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi berkenaan ialah Naib Presiden iaitu Zuraida Kamaruddin dan Tian Chua. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Seramai 20 Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR termasuk Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, sebulat suara menolak pemecatan Zakaria Abdul Hamid sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu.

Dalam satu memo kepada Lembaga Displin PKR, kesemua 20 Ahli MPP berkenaan memaklumkan perkara itu dicapai setelah penelitian dilakukan dan didapati keputusan memecat Zakaria adalah dengan alasan yang cacat dan tidak menepati prinsip keadilan iaitu tidak melalui proses sebagaimana harusnya.

Syor yang dikemukakan Lembaga Disiplin hanyalah tunjuk sebab, bukan pemecatan.

"Ini diperkukuhkan dengan kenyataan terbuka pihak SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) sendiri yang menjelaskan kekhilafan pihak mereka dalam hal makluman kepada Lembaga Disiplin parti tentang isu berkenaan.

"Malah turut dinyatakan bahawa setelah disiasat, tiada kes wujud seperti dakwaan," menurut memo yang turut diedarkan kepada pihak media, hari ini.

Selain Azmin dua daripada 20 Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi berkenaan ialah Naib Presiden iaitu Zuraida Kamaruddin dan Tian Chua.

Tujuh belas nama lain di dalam memo berkenaan ialah Ketua Wanita Haniza Mohamed Talha; Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan Hilman Idham, Timbalan Ketua Wanita Dr Daroyah Alwi serta Ahli MPP lain iaitu Amiruddin Shaari, Datuk Mohd Rashid Hasnon, R. Sivarasa, Rahimah Majid, Elizabeth Wong, Datuk Saifuddin Abdullah, Radzlan Jalaluddin, Datuk Dr Mansor Othman, Datuk Kamarudin Jaffar, Azmizam Zaman Huri, Gan Pei Nei, Hee Loy Sian, Datuk Seri R. Santhara Kumar serta Zakaria sendiri.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Displin PKR Datuk Ahmad Kassim dalam kenyataan balas menerima baik memo itu dan akan menelitinya dalam mesyuarat Lembaga Disiplin sebelum membuat syor kepada MPP.

"Keputusan pemecatan itu adalah keputusan MPP sendiri dan bukan keputusan Lembaga Disiplin mahupun Presiden parti.

"Untuk pinda dan semak semula keputusan perlu dibuat dalam mesyuarat MPP, bukan luar mesyuarat. Jadi saya merayu semua yang tandatangan memo tersebut untuk hadir mempertahankan pandangan mereka dalam mesyuarat akan datang," katanya.

-- BERNAMA