Sejumlah 22 calon wanita akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11) berbanding 16 pada pilihan raya lepas pada 2011.

Gabungan muka baharu dan senior, calon-calon tersebut termasuk lima dalam 'Pasukan Adenan' iaitu Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali di kerusi Samariang, Hajjah Simoi Peri (Lingga), Datuk Fatimah Abdullah (Dalat), Rosey Yunus ( Bekenu) dan muka baharu Datuk Janet Lau.

Janet, balu kepada mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew, timbalan menteri Pengangkutan yang meninggal dunia pada 2010, akan bertanding sebagai calon langsung BN di Pelawann.

Samariang adalah satu-satu kawasan yang akan menyaksikan dua calon wanita - penyandang Sharifah Hasidah dari PBB dan Nani Sahari dari Amanah - dalam pertandingan tiga penjuru dengan wakil PAS, Yusof Assidiqqi Ahmad Sharkawi.

Sahrifah Hasidah memenangi kerusi itu dengan majoriti 5,431 undi pada 2011.

Menyertai saingan tersebut ialah enam calon wanita daripada DAP termasuk penyandang Violet Yong Wu Wui yang akan mempertahankan kerusi Pending, Christina Christina Chiew Wang See (Batu Kawah) dan pencabar kerusi Meradong, Ting Tze Fui.

Tiga lagi, kesemuanya muka baharu adalah Irene Mary Chang Oi Leng (Bukit Assek), Yong Siew Wei (Repok) dan Rinda Juliza anak Alexander bagi kerusi Pakan.

Wakil PKR, Voon Shiak Ni akan menentang BN dalam pertandingan lima penjuru di kerusi baharu majoriti Cina, Batu Kitang bersama-sama DAP dan dua calon Bebas.

Seorang lagi calon PKR, Athina Klaywa Sim akan turun gelanggang bagi kerusi baharu, Serembu dengan wakil Star, Buln Patrick Rios, Miro Simuh (BN) dan calon Bebas, Nyomek Nyeap.

Secara keseluruhan, enam wanita akan bertanding atas tiket PKR.

Dalam pada itu, Hamidah Mokhtar merupakan calon wanita tunggal bertanding atas tiket PAS pada PRN-11, 7 Mei ini.

Beliau akan menentang di kerusi Beting Maro dengan calon Amanah, Andri Zulkarnaen Hamden dan Razali Gapor dari BN.

PRN-11 ini juga akan memperlihatkan parti pembangkang tempatan, Star, menyenaraikan dua calon wanita iaitu bagi kerusi Simanggang dan Marudi daripada 11 kerusi yang ditandingi oleh parti itu.