Tutup

72 jam selepas PRU14, 'drama' di Sabah belum berakhir!

72 jam selepas PRU14, 'drama' di Sabah belum berakhir!
Musa Aman telah mengangkat sumpah pada jam 11.06 malam, 10 Mei, di hadapan Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin. - Gambar fail
SELEPAS lebih 72 jam menerima keputusan pilihan raya umum ke-14 (14) PRU14 di Sabah, situasi politik di Sabah belum selesai, khususnya berkenaan siapakah Ketua Menteri Sabah yang sebenar dan siapa yang sedang memimpin negeri di bawah bayu itu ketika ini.

Jika anda tidak tahu perkembangan semasa pasca-PRU14 mengenai Sabah, ini lima perkara yang perlu anda tahu setakat ini:

1. Musa Aman masih Ketua Menteri Sabah yang sah

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Tan Sri Musa  Aman telah mengangkat sumpah pada jam 11.06 malam, 10 Mei, di hadapan Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
Ia selepas BN Sabah yang memperoleh 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mendapat sokongan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang memenangi 2 kerusi DUN, menjadikan jumlah kerusi dimiliki pakatan itu 31, majoriti mudah membentuk kerajaan negeri.

Parti Warisan Sabah (Warisan) dan rakan kerjasamanya PKR dan DAP memperoleh 29 kerusi DUN ketika istiadat mengangkat sumpah berlangsung.
2. Shafie Apdal memperoleh majoriti bentuk kerajaan negeri

Semalam Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mendakwa parti Warisan dan gabungan partinya telah memperolehi majoriti mudah sejumlah 35, termasuk tambahan enam lagi untuk membentuk kerajaan negeri.

Enam wakil DUN termasuk Datuk Abdul Muis Pichu (Sebatik), Datuk Hamisa Samat (Tanjung Batu), Datuk Osman Jamal (Balung), Datuk Jamawi (Kemabong), Ewon Benedick (N. 7 Kedamaian) dan Abidin Mandakir (N. 31 Paginatan) dari BN yang menyertai pakatan Warisan-PKR-DAP.

3. Shafie Apdal gesa Musa Aman letak jawatan

Shafie menggesa Musa Aman untuk letak jawatan ekoran Ketua Menteri itu telah hilang undi keyakinan selepas enam ADUN BN menyertai pakatan Warisan untuk membentuk kerajaan negeri.

Shafie dalam sidang media semalam berkata kesemua ADUN berkenaan telah memberikan kenyataan perundangan berhubung pendirian mereka.

4. Di manakah Musa Aman sekarang?

Musa Aman masih dalam negeri. Menurut laporan media tempatan yang memetik sumber beliau tidak meninggalkan negara atau negeri mahupun membakar sebarang dokumen seperti mana viral sebelum ini.

Beliau dipercayai akan dipanggil oleh Yang Di-Pertua Negeri pada hari ini untuk memberi penjelasan ekoran perkembangan politik yang berlaku di negeri itu.

5. Bila Shafie angkat sumpah?

Secara teknikalnya, Musa Aman masih Ketua Menteri Sabah. Untuk Mohd Shafie mengangkat sumpah, Musa perlu letak jawatan terlebih dahulu sebelum satu lagi upacara angkat sumpah Ketua Menteri Sabah boleh berlaku.

Hanya satu Ketua Menteri yang boleh memerintah Sabah pada satu-satu masa.

Nantikan 'drama Sabah' yang bakal memuncak.