Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz menafikan abangnya, Nik Omar akan menyertai Parti Amanah Negara (Amanah), atau menjadi calon Pakatan Harapan (PH) Kelantan.

Beliau yang mewakili ahli keluarga serta Nik Omar menafikan wujud rundingan akhir bagi memujuk Nik Omar menyertai Amanah.

“Tidak akan berlaku (Nik Omar) menyertai Amanah, tiada rundingan, keluarga kami nafi, ini propaganda nak pecah belahkan rakyat Kelantan”, katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Menurut Nik Mohamed Abduh lagi, Nik Omar 'beristikomah' dengan Pas dan itu yang dimaksudkannya.

Semalam, Amanah mengesahkan pihaknya dalam perundingan peringkat akhir dengan salah seorang anak Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat, yang dikatakan akan menyertai parti itu.

Pengerusi Amanah Kelantan, Wan Abd Rahim Wan Abdullah berkata, keputusan itu akan dimuktamadkan hari ini.

"Berita itu betul, sebab fikrah dan pemikiran itu memang dah selari tetapi ada beberapa perkara teknikal yang melibatkan keluarga yang sedang diuruskan.

"Esok (hari ini) akan menyelesaikan perundingan, pengumuman tak akan buat lagi, perundingan sedang berlangsung," katanya pada sidang media di Kota Bharu, semalam ini.

Penafian yang di buat oleh Nik Mohamed Abduh itu jelas menafikan khabar angin serta dakwaan Amanah bahawa Nik Omar akan menyertai Amanah hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kedudukannya sama ada bakal disenaraikan sebagai calon untuk bertanding pada Pilihanraya Umum ke 14 di kerusi Dewan Undangan Negeri atau mengekalkan di kerusi Parlimen Pasir Mas, menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti.

Katanya setakat ini seorang sahaja di Malaysia yang disahkan sebagai calon iaitu Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasharuddin Hassan Al Tantawi yang akan bertanding di Parlimen Indera Mahkota seperti yang diumumkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini.

Katanya kawasan lain tiada lagi pengyistiharan calon dan tiada pengesahan setakat in dan kebiasaannya calon Pas akan diumumkan serentak seluruh negara.

Khabar angin mendakwa beliau tidak akan dikekalkan di kerusi parlimen Pasir Mas sebagai calon sebaliknya kemungkinan dicalonkan di Dun Cempaka, kerusi tradisi ayahnya, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.