Anggota Parlimen Kudat Datuk Abdul Rahim Bakri menafikan sekeras-sekerasnya laporan media sosial yang mengaitkan nama beliau dengan 19 anggota Parlimen lain yang dikatakan berkomplot untuk menjatuhkan kerajaan.

"Laporan itu adalah tidak bermoral, fitnah, serkap jarang dan bertujuan mencemarkan imej ahli-ahli Parlimen khususnya (dari) UMNO dan Barisan Nasional (BN)," katanya dalam kenyataan kepada Bernama di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata tidak ada sesiapa datang menemui beliau atau untuk berkomplot malah semenjak dua minggu lalu beliau tidak menemui sesiapa.

Menurutnya sejak dua minggu lalu juga beliau berada di kawasan Parlimennya menjalankan program Bersama Rakyat selain mengurus hal ehwal keluarganya.

"Sebagai pemimpin yang telah bergiat lama dalam UMNO iaitu sejak 24 tahun lalu dan memegang pelbagai jawatan parti dan kerajaan, saya amat bersyukur dan sangat berpuas hati dengan pencapaian itu.

"Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, saya amat berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana memberikan peluang kepada saya (berkhidmat) dalam tiga kementerian penting iaitu Kementerian Luar, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pertahanan.

"Adalah tidak logik dan tidak berperikemanusiaan tuduhan dibuat sebegitu," katanya.

Dalam posting di media sosial dengan tajuk 'The Usual Suspects':20 Nama Ahli Parlimen Berkomplot Jatuhkan Kerajaan? itu, nama Abdul Rahim antara tujuh anggota parlimen dari Sabah yang tersenarai.

Sabtu lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan mengenai usaha-usaha individu tertentu untuk menggulingkan kerajaan.