Pemberian tender bagi projek kerajaan negeri perlu dibuat secara terbuka dan bukannya tender secara langsung.

Teguran itu dibuat Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, yang merujuk bahawa tindakan itu bagi mengelak mana-mana pihak menggunakan kedudukan untuk mendapatkan tender sama ada melalui rundingan mahupun lobi.

Menurut Shahidan, sepatutnya setiap tender dibuat secara terbuka kerana tender secara langsung menyebabkan kecenderungan terhadap memberi tender kepada "orang pilihan" masing-masing.

"Saya tidak mahu ada orang menggunakan kedudukan untuk dapatkan projek melalui lobi dan sebagainya," katanya ketika ditemui pada majlis perjumpaan bersama ketua-ketua cawangan dan majlis jamuan aidilfitri di Pusat Khidmat ADUN Kubang Gajah di sini, malam tadi.


Beliau mengulas demikian ketika ditanya berhubung keadaan politik negeri selepas kemelut pelantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar, diumumkan selesai.

Dalam pada itu, Shahidan turut menepis dakwaan kononnya beliau sedang mengintai jawatan Naib Presiden UMNO demi kepentingan negeri Perlis.

Ujarnya, dengan kemenangan besar di Perlis pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, beliau tidak perlu melobi sebaliknya layak untuk menjawat sebarang jawatan.

Antara ADUN Barisan Nasional (BN) yang kelihatan pada majlis semalam termasuk Rozieana Ahmad (Pauh), Siti Berenee Yahaya (Mata Ayer) dan Nurulhisham Yaakob (Simpang Ampat).

Shahidan yang berkerusi roda ke majlis itu, menafikan laporan media yang mendakwa beliau mengalami strok.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Arau itu hanya mengalami kekebasan di kakinya dan dijangka pulih beberapa hari lagi.