Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mempertimbangkan untuk memberi kebenaran khas kepada bekas ahli UMNO yang menyertai parti itu untuk bertanding pada pilihan raya parti akan datang.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga Pengerusi Bersatu berkata, walaupun perlembagaan parti tidak membenarkan mereka yang menyertai parti kurang daripada setahun, namun kebenaran khas boleh diberikan dengan syarat mereka tidak terlibat dengan sebarang aktiviti jenayah.

“Berdasarkan perlembagaan Bersatu, mereka tidak boleh bertanding. Tetapi kita boleh memberi pengecualian berdasarkan kes-kes tertentu, terutamanya mereka yang tidak ada rekod jenayah,” katanya kepada sidang media selepas melawat Depot DMIA di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata, pengecualian itu juga boleh diberikan kepada bekas ahli UMNO yang kini memegang jawatan sebagai penaja di beberapa bahagian dan cawangan parti.

Mengulas mengenai laporan media tentang penangguhan mesyuarat cawangan dan bahagian parti itu, termasuk pemilihan, Dr Mahathir berkata ia kerana terdapat masalah yang timbul dan perlu diselesaikan segera.

“Pendaftaran ahli parti, telah menimbulkan beberapa isu. Kita mendapati ada beberapa ahli berada di bawah bahagian tertentu, tetapi rekod pendaftarannya di bahagian lain, ini perlu kita betulkan,” katanya lagi.


Semalam, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Dr Marzuki Yahya mengesahkan pekeliling parti yang bersetuju menangguhkan penamaan calon peringkat cawangan dan bahagian kepada 26 Januari ini.

Selain itu, pekeliling itu turut menyebutkan tarikh baharu mesyuarat cawangan dan bahagian iaitu antara 15 Februari hingga 18 April, tetapi persidangan agung Bersatu kekal antara 26 hingga 28 Jun.