Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau mempunyai agenda tersendiri dan mempergunakan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli untuk memudahkan laluannya bergelar Perdana Menteri.

Kata Anwar, beliau yakin dengan kuasa demokratik dan enggan terjebak dengan drama yang tidak perlu dalam parti.

"Rafizi seorang yang bijak dan tidak akan membiarkan dirinya dipergunakan. Ada pendapat beliau yang saya setuju, ada yang tidak.

"Tetapi saya percaya pada suara majoriti yang kita amalkan selama ini. Apa yang penting ialah tiada permainan kotor kerana ia bertentangan dengan apa yang kita amalkan selama ini.

"Ada yang kata saya tak sabar untuk jadi Perdana Menteri. Tetapi saya dikatakan akan jadi PM sejak 1998 lagi, jadi dakwaan itu tidak benar," kata Anwar.

Beliau juga sekali lagi meluahkan keyakinan dan sokongan penuh kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi perjumpaan bersama budayawan negara di Petaling Jaya, hari ini.

Antara yang hadir dalam sesi sejam itu ialah Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said, Datuk Dr. Anwar Ridhwan dan Pengarah Penyelidikan dan Penerbitan Institut Antarabangsa Peradaban Islam dan Dunia Melayu (ISTAC), Prof Datuk Dr Awang Sariyan.