Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempersoalkan Rang Undang-undang Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 yang sedang dibincangkan.

Abdul Hadi berkata adakah Akta Polis sedia ada dan Suruhanjaya Pasukan Polis sudah tidak mampu untuk ditambah baik dan perlu diganti dengan IPCMC.

"Maka apakah perlunya undang-undang membuka pintu seluas-luasnya kepada sesiapa sahaja pihak awam yang jahil ilmu kepolisian boleh mendisiplinkan polis tanpa mengira kelayakan iman, ilmu dan budiman, kerana terpengaruh dengan ideologi tidak beriman yang sedang merudum di negara penciptanya," soal beliau dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook rasminya.

Menurut Abdul Hadi, kenyataan beliau itu tidak bermakna Pas mahu polis bebas melakukan apa sahaja namun pihaknya tidak boleh menerima cara, pendekatan dan undang-undang yang melemahkan kehebatan pihak penguatkuasa undang-undang seperti polis.

"Sudahlah kini undang-undang tidak ada roh dan tidak ada kehebatan pada undang-undang itu sendiri, tiba-tiba pihak yang mengawasi masyarakat yang melakukan pencegahan pula dikepung dengan cara yang mengundang campur tangan oleh pihak yang tidak berkenaan.

"Apakah ini laksana tikus membaiki labu?" soal beliau lagi.

Abdul Hadi juga bimbang, usaha mewujudkan IPCMC ada kaitan dengan tindakan sesetengah pihak yang mempertikaikan membanteras pengaruh Tamil Eelam yang diisytiharkan haram kerana keganasannya.

Beliau berpendapat masyarakat Tamil di Malaysia juga menganggap LTTE sebagai pengacau yang wajib dibunuh pengaruhnya.

"Tiba-tiba ada yang menunjukkan simpati, mungkin apa yang ada di dalam hatinya lebih parah lagi.

"Tegasnya Islam tetap berlaku adil sehingga mengharamkan penganut Islam yang melampau menyalahgunakan hukum jihad yang mulia di sisi Allah, kerana kejahilan terhadap agama sendiri boleh merosakkan wajah Islam.

"Islam turut mengharamkan amalan melampau ke atas semua termasuk musuh yang nyata, dengan hukum dosa bukan hanya tindakan undang-undang oleh pihak kerajaan," katanya.

Abdul Hadi berharap agar kerajaan tidak terpengaruh dengan pihak yang hendak memuaskan diri dan kumpulannya hingga bertindak laksana memberi jalan ke arah kumpulan Mafia mengadakan undang-undang sendiri yang bersifat pengacau masyarakat.

Beliau juga menganggap bertambah malang jika kerajaan turut diresapi oleh pengaruh yang sangat melampau terhadap rakyat dan negara.