Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Sarawak berlangsung di Balai Mengadap, Astana Negeri, di sini malam tadi.

Tan Sri Adenan Haji Satem mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri untuk tempoh lima tahun lagi selepas Barisan Nasional mencatatkan kemenangan dua pertiga dengan memenangi sebanyak 72 kerusi daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.

Beliau sendiri menang kerusi Dewan Undangan Negeri N03 Tanjung Datu dengan majoriti sebanyak 5,892 mengalahkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jazolkipli Numan yang hanya mendapat sebanyak 648 undi sahaja. Adenan memperoleh sebanyak 6,360 undi.

Beliau tiba di Astana Negeri kira-kira jam 10 malam diiringi oleh isteri beliau, Puan Sri Jamilah Anu, serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

LAPOR LANGSUNG: Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11

Adenan mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri di hadapan Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud pada jam 10.15 malam dan menandatangani watikah pelantikan beliau sejurus selepas itu.

Majlis berakhir kira-kira sepuluh minit dan Adenan beredar dari Astana Negeri pada jam 10.45 malam.