Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamhari menafikan ada tawaran daripada Umno dan Pas untuk menyertai gabungan Muafakat Nasional membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Jelas Adun PKR itu, jika ada tawaran sekali pun, beliau tetap menunggu situasi politik di peringkat Pusat sebelum mengambil apa-apa tindakan.

“Tiada sebarang tawaran. Setakat ini memang tiada tawaran. Sembang-sembang 'kedai kopi' adalah, dengan rakan, mengenai tukar pandangan mengenai isu semasa.

"Setakat itu sahaja. Tidak ada tawaran. Apa pun, saya sendiri melihat dengan teliti apa yang berlaku di peringkat Pusat dan kita menunggu sekiranya ada apa-apa signal daripada pimpinan," katanya semasa ditemui Astro AWANI di Parit Buntar.

Ketika ini katanya, beliau belum menerima apa-apa arahan atau signal dari peringkat Pusat dan susulan itu, setiap ADUN menjalankan tugas seperti biasa.

"Maksudnya kita melihat perkembangan apa yang berlaku dalam masa terdekat. Setakat ini tiada arahan dari peringkat Pusat. Kita terus jalan tugas sebagai wakil rakyat," tambahnya.

Ditanya sama ada beliau mempunyai maklumat jika ada pihak yang mendesak Menteri Besar Perak sedia ada ditukar, kata Yunus, beliau tidak mempunyai maklumat mengenai perkara itu.

Bagaimanapun buat masa ini katanya, beliau masih memberi sokongan kepada Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar.

"Saya tidak boleh mewakili yang tiga (Adun PKR) lagi tu. Saya bercakap ini bagi pihak saya. Demi kepentingan rakyat dan kerajaan negeri, saya secara individu masih lagi menzahirkan sokongan kepada Menteri Besar yang ada sekarang ini. Namun yang tiga lagi tu saya tidak pasti,” ujar beliau.

Perak mempunyai 59 kerusi Dun dan PH sebelum ini membentuk kerajaan negeri melalui 18 kerusi Dun dari DAP, 6 Adun Amanah, 4 Adun PKR, dan 2 Adun Bersatu.

Umno memiliki 25 kerusi Dun, Pas 3 kerusi Dun dan kini membentuk gabungan Muafakat Nasional (MN).

Manakala, parti bebas ada satu kerusi.