Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) di Melaka dikatakan berminat menyertai blok pembangkang.

Perkara itu didedahkan Pesuruhjaya Pas Melaka, Kamaruddin Sidek, yang walau bagaimanapun, tidak menyebut nama mana-mana individu tertentu.

Beliau mendakwa, kumpulan wakil rakyat itu hilang keyakinan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.

"Saya jumpa pun tak ramai. Dalam kalangan mereka yang saya jumpa itu ada yang menyebut mereka tidak stabil, dalam kerajaan negeri ini.

"Katanya, tidak ada harmoni dalam PH, dalam Kerajaan Negeri Melaka ini, iaitu di kalangan wakil rakyat merekalah. Mereka tidak seronoklah.

"Itu sebab saya kata, mungkin orang melihat kita ini sebenarnya berjalan ke bawah," kata Kamaruddin.



Sebelum ini ahli PKR Melaka, G Rajendran, mendakwa terdapat perbincangan membabitkan beberapa pemimpin PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk mewujudkan kerajaan campuran bersama UMNO serta Pas di negeri itu.

Dakwaan itu dibuat ketika tersebar spekulasi kononnya UMNO, Pas dan beberapa pemimpin PKR sedang berusaha mendapatkan sokongan ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Ia bagi mengekalkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal ini.