Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar dari Barisan Nasional (BN), Rizam Ismail dilantik sebagai Ketua Pembangkang Selangor yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Perkara itu diumumkan Speaker Dewan Negeri, Ng Suee Lim sebelum memulakan Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-14 di sini.

"Saya telah menerima surat daripada BN Selangor pada 27 Jun 2018 untuk mencalonkan seorang Ketua Pembangkang Selangor iaitu ADUN Sungai Air Tawar.

"Dewan Negeri Selangor penggal ke-14 ini telah meneliti pelantikan ketua pembangkang adalah daripada BN dan dengan ini saya memasyhurkan Rizam Ismail, sebagai Ketua Pembangkang Selangor," katanya.

Ng berkata semua ADUN di negeri ini diharap dapat menerima pelantikan itu selain mahu ketua pembangkang baharu menjalankan tanggungjawab dengan baik.

DUN Selangor sebelum ini tidak mempunyai ketua pembangkang susulan ADUN Sungai Burong dari BN, Datuk Mohd Shamsudin Lias melepaskan jawatan itu pada 8 Dis 2014.

Mohd Shamsuddin meletakkan jawatan itu kerana enggan dilantik sebagai Pengerusi Kira-kira Wang Awam (PAC) Selangor. -- Bernama