Pergerakan Pemuda UMNO Sabah menyelar tindakan segelintir pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan) yang menuduh UMNO sedang 'memancing' Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk membentuk kerajaan negeri tidak demokratik.

Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir. Abdul Aziz Julkarnain sebaliknya, mengingatkan kembali pemimpin Warisan berhubung pembentukan kerajaan parti itu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah dengan membeli ADUN dari Barisan Nasional (BN).

Katanya, semua ADUN tidak perlu dibeli kerana mereka sedar dan tahu apakah yang diinginkan rakyat lebih-lebih lagi selepas Warisan kalah teruk dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

"Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman tidak perlu gelabah dengan memfitnah UMNO bahawa parti itu sedang membeli ADUN-ADUN untuk menubuhkan kerajaan yang tidak demokratik.

"Sebagai rekod, kerajaan Warisan dibawah pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebenarnya tidak demokratik," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Sebelum ini, Mohd Aziz menempelak UMNO supaya jangan bermimpi mahu membentuk kerajaan pintu belakang di Sabah melalui usaha membeli wakil rakyat untuk berpaling tadah.

Krisis politik Sabah kembali bergegar dan kedudukan Warisan sebagai kerajaan negeri dilihat goyah selepas ada dakwaan bahawa hanya 19 ADUN sahaja yang hadir dalam sebuah sidang media khas bagi menyatakan sokongan terhadap Ketua Menteri ketika ini.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, maklum balas yang diberikan selepas isu itu wujud adalah berdasarkan aksi political stunt yang dibuat oleh Timbalan Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Wilfred Madius Tangau.

"Barangkali dia (Mohd Azis) sendiri yang keliru dan gagal menggarap situasi yang sedang berlaku saat ini," ujar beliau lagi.