Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) masih meletakkan agenda pembangunan bumiputera sebagai keutamaan selari dengan aspirasi penubuhannya, tetapi yang pasti ia lebih menyeluruh, kata Datuk Rais Hussin.

Pengerusi Biro Polisi dan Strategi parti itu berkata pelaksanaannya sudah pasti lebih baik daripada zaman UMNO dahulu kerana polisi itu secara realistiknya harus memastikan semua masyarakat bumiputera menerima kesan daripadanya.

“Kita nak perjuangkan agenda Melayu macam mana? Sebab polisi yang cukup baik, kita boleh tulis. Tetapi pelaksanaan polisi inilah yang akan menentukan adakah perjuangan PPBM ini lebih baik daripada UMNO.

“Sebelum ini pun kita ada perjuangan mengenai perkara itu, tetapi yang menikmati agenda bumiputera ini adalah segelintir kecil yang saya selalu sebut sebagai UMNO Putra.

"Itu pun dalam UMNO Putra ini setengah peratus sahaja yang menikmati, yang lagi 99.5 peratus tidak merasai,” katanya dalam satu wawancara khas bersama Astro AWANI baru-baru ini.

Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali kedua dijadual diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bermula esok.

Bercakap mengenai hala tuju PPBM dalam tahun-tahun seterusnya, Rais berpandangan agar parti itu sebagai komponen penting dalam Pakatan Harapan, perlu terus berpegang kepada lima asas penubuhan mereka.

Lima penubuhan itu, jelas beliau lagi adalah reformasi urus tadbir negara, memastikan keterangkuman dalam setiap agenda yang dijalankan, keadilan untuk semua, konsep kesederhanaan atau wasatiyah, dan progresif dalam memimpin negara.

Selain itu, katanya lagi, PPBM perlu memainkan peranan penting dalam memastikan Kerajaan Persekutuan dapat menyelesaikan janji yang termaktub dalam Manifesto Pilihan Raya Umum yang lepas.