Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Ahli Parlimen Lubok Antu keluar PKR, ikrar sokong Muhyiddin, Abang Johari

Ahli Parlimen Lubok Antu keluar PKR, ikrar sokong Muhyiddin, Abang Johari
Jugah dalam kenyataan mengumumkan keluar PKR dan menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin dan Abang Johari.
KUCHING: Ahli Parlimen Lubok Antu, Tambat @ Jugah Muyang hari ini mengumumkan keluar PKR dan menjadi Ahli Parlimen Bebas yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Dalam kenyataan malam ini, beliau turut menyatakan ikrar sokongan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
"Saya telah berbincang dengan para penyokong saya dan mereka bersetuju agar saya menyokong penuh kerajaan PN demi kebaikan dan pembangunan kawasan Lubok Antu," katanya.

Jelas Jugah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, beliau bertanding sebagai calon Bebas dan menang atas mandat rakyat sebelum bersama para penyokongnya menyertai PKR yang menjadi sebahagian kerajaan Pakatan Harapan (PH).


Sementara itu, Jugah ketika dihubungi Astro AWANI menerusi aplikasi WhatsApp mengesahkan mengenai kenyataan media itu.

"Ya..," jawab Jugah ringkas.

Selain itu, menurut kenyataan Jugah, kawasan luar bandar yang diwakilinya memerlukan perhatian oleh Kerajaan Pusat dalam melaksanakan pembangunan.

Bagaimanapun pergolakan dalaman Pakatan Harapan (PH) sehingga peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri menyebabkan kerajaan itu tumbang selepas 22 bulan mentadbir Negara.

“Saya berasa kesal apabila berlakunya permasalahan dalaman di antara parti komponen PH, dan keputusan saya untuk keluar parti dibut selepas mengambil kira persetujuan dan restu para penyokong saya di kawasan,” katanya.

Pada PRU lalu, Jugah memenangi kerusi Lubok Antu dengan 5,834 undi, mengatasi calon Barisan Nasional, Robert Pasang Alam yang mendapat 4,775 undi dan calon PKR, Nicholas Bawin Anggat (3,942 undi).

Susulan keputusannya untuk keluar PKR, PH Sarawak kini hanya menguasai lapan daripada 31 kerusi Parlimen di negeri ini manakala ahli Parlimen yang menyokong PN seramai 21 orang dan dua ahli Parlimen berkecuali.


Tag: Ahli Parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang, PKR, Keluar PKR, Ahli Parlimen Bebas, Perikatan Nasional, GPS, Muhyiddin Yassin, Abang Johari Tun Openg, Pakatan Harapan, rakyat



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.