Kira-kira 40 ahli Parlimen pembangkang berarak dari bangunan Parlimen ke ibu pejabat polis Bukit Aman untuk menuntut pembebasan Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah.

Perarakan yang diketuai Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, turut disertai bekas Timbalan Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang.

Dalam ucapannya, Dr Wan Azizah memberitahu, penahanan Maria dianggap sebagai penyalahgunaan kuasa di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Mereka juga meminta Ketua Polis Negara untuk bertindak ke atas gangguan kepada Ahli Parlimen dan pemberi maklumat serta meminta untuk undang-undang SOSMA dimansuhkan serta melindungi hak-hak ahli Parlimen untuk bercakap di Parlimen.

Petisyen tuntutan ahli Parlimen itu diserahkan kepada ACP Nor Azman Yusuf, Urusetia Komunikasi Korporat, Ketua Polis Negara di depan pintu utama ibu pejabat polis Bukit Aman.

Sepanjang perarakan ke pintu utama ibu pejabat Polis Bukit Aman, mereka melaungkan 'Bebaskan Maria', 'Hentikan SOSMA' dan 'Hidup Bersih'.

Sebelum ini, pemimpin gerakan Bersih ditahan di bawah akta tersebut.

Turut ditahan pada Sabtu, empat ahli Parlimen pembangkang iaitu Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke; Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong; Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.