Beberapa Ahli Parlimen pembangkang hari ini dilihat hadir ke mesyuarat khas di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), difahamkan sejak 12 tengah hari tadi.

Antara yang hadir ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Difahamkan, selepas mesyuarat berkenaan diadakan, mereka dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara petang ini.

Terdahulu, seramai 222 Ahli Parlimen akan mengadap Seri Paduka bagi sesi temu bual peribadi.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, temu bual ringkas kira-kira dua ke tiga minit seorang itu, bertujuan mendapatkan maklum balas serta pendapat setiap anggota Dewan Rakyat, mengenai situasi politik negara

-- BERNAMA