Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) menyatakan sokongan penuh terhadap kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dan timbalannya, Nga Kor Ming.

Dalam satu kenyataan, Majlis Setiausaha PH menegaskan, tidak wujud keperluan sama sekali untuk menukar Mohamad Ariff dan Kor Ming yang telah berkhidmat dengan adil dan saksama.

Majlis Setiausaha PH berpendapat, Mohamad Ariff telah memainkan peranan amat penting dalam merakyatkan Parlimen di samping memulihkan kepercayaan umum terhadap institusi terpenting demokrasi di Malaysia.

"Dari pembentukan Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang baharu, mewujudkan Kumpulan Rentas Parti yang merapatkan hubungan di antara Ahli-Ahli Parlimen dan masyarakat sivil, serta pelbagai penambahbaikan perjalanan sidang Parlimen yang lain.

"Tan Sri Yang Dipertua telah membuktikan bahawa usaha reformasi institusi yang bermula pasca PRU14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) telah mula membuahkan hasil dan wajib diteruskan," kata kenyataan yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr Mohd Hatta Ramly dan Setiausaha DAP, Anthony Loke.

Baru-baru ini Mohamad Ariff mengesahkan telah menerima usul mencadangkan supaya khidmat beliau sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat ditamatkan.

Beliau berkata, turut diterima adalah usul mencadangkan supaya khidmat Nga Kor Ming sebagai timbalan speaker juga ditamatkan.

Mohamad Ariff berkata, kedua-dua usul itu diterima mengikut amalan biasa dan selari dengan Peraturan Majlis Mesyuarat serta tanpa berat sebelah.

Usul tersebut dibawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan diserahkan kepada Dewan Rakyat pada petang Jumaat (26 Jun) lepas.