Tutup

Ahmad Shabery bakal lepas jawatan kawasan UMNO

Ahmad Shabery bakal lepas jawatan kawasan UMNO
AHMAD SHABERY: UMNO harus beri peluang kepada golongan muda untuk menerajui kepimpinan di kawasan masing-masing. - BERNAMA/Fail
KEMAMAN: Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata beliau akan meletak jawatan sebagai Ketua Cawangan Gong Cengal, Kemasik selepas memilih beberapa barisan muda untuk menerajui cawangan itu.

Di peringkat bahagian pula, beliau akan menyusun barisan muda sebelum berundur sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kemaman.

Ini kerana UMNO harus beri peluang kepada golongan muda untuk menerajui kepimpinan di kawasan masing-masing, katanya.

Menurut Ahmad Shabery, kebanyakan ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) serta ketua Cawangan adalah orang yang sama mentadbir parti bagi tempoh yang lama.

"Majoriti ketua-ketua yang menjaga PDM, Cawangan dan sebagainya, adalah orang yang sama sejak 20, 30 tahun yang lalu. Bukan mereka tidak ada peranan atau bukan tidak ada jasa, tetapi untuk memahami dan untuk diterima golongan muda, dari segi bahasa, lingua sudah berbeza.
"Sebab itu kita perlu ada perubahan dan intervensi secara serius diadakan di semua peringkat untuk memastikan kepimpinan di peringkat akar umbi juga perlu diambil di kalangan orang muda," katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Agung dan Majlis Berbuka Puasa UMNO Cawangan Gong Cengal Kemasik di sini, malam tadi.

KURANGKAN CAWANGAN

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu juga berkata, penstrukturan semula UMNO perlu dilaksanakan tanpa mewujudkan terlalu banyak cawangan yang mengakibatkan beban pengurusan.

Katanya, cadangan itu sejajar kaedah yang diguna pakai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dimana tiga atau empat cawangan digabungkan dibawah satu PDM.
Menurutnya, langkah berkenaan juga berikutan Kerajaan Pusat memansuhkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

"UMNO perlu distrukturkan kembali. Kita tidak perlu terlalu banyak Cawangan kerana ia melibatkan pengurusan yang terlalu besar. Saya cadangkan kita susun Bahagian dan Cawangan mengikut struktur SPR yang ada, misalnya kawasan Parlimen, di situ lah jadi bahagian UMNO dan satu PDM itu merupakan satu Cawangan UMNO.

"Jadi jika ada dua tiga cawangan (dalam satu kawasan), boleh gabung sekali menjadi satu Cawangan," kata Ahmad Shabery.

Ujarnya, UMNO memerlukan pembaharuan dengan barisan kepimpinan serta ahli yang bersih serta memahami perjuangan untuk rakyat.

Beliau menambah, ahli yang ramai tidak akan memberi manfaat jika gagal membuktikan kesetiaan dalam apa jua keadaan.