Kuan Chee Heng mengakui calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali merupakan pencabar utama beliau dalam usaha memenangi hati pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih 2 Mac ini.

Menurut calon Bebas yang lebih dikenali sebagai Uncle Kentang itu, lawannya itu mempunyai kelebihan dari segi kelengkapan dan jentera parti yang lebih besar daripada calon-calon lain yang bertanding.

"Bagi saya, semestinya Aiman (pencabar utama). PH menjadi (jentera) utama kerana mereka mempunyai semuanya yang berada di belakang beliau.

"Jadi, Aiman menjadi pencabar utama saya, beliau adalah calon paling sukar bagi saya," katanya semasa menjadi tetamu pada program Let's Talk with Sharaad Kuttan yang disiarkan secara langsung di saluran 501 Astro AWANI.

Malah, walaupun Aiman dikatakan sebagai calon yang tidak banyak berkomunikasi, namun, ia dilihat bukan perkara utama untuk menang di Semenyih.

Sebaliknya, kata beliau, faktor parti lebih banyak menarik sokongan pengundi berbanding faktor calon.

"Saya merasakan sesetengah masyarakat Malaysia melihat kepada parti dan bukan calon. Inilah isunya, rakyat kebanyakannya melihat kepada parti," ujar beliau.

Beliau bagaimanapun optimis mempunyai peluang yang baik untuk menang pada PRK DUN Semenyih 2 Mac ini.

"Sebelum ini kita menunggu kesatuan dalam Pakatan Harapan untuk membawa lebih banyak kebaikan kepada Malaysia. Namun, malangnya dalam tempoh sembilan bulan ini, saya sangat kecewa dengan mereka dan sekarang adalah masa untuk rakyat menyatakan sesuatu," tambahnya lagi.

Malah katanya, jika menang di Semenyih, beliau sedia bermula dari bawah dengan melakukan pembaharuan di DUN itu.

"Kita ada kira-kira 50 wakil rakyat PH, namun masih ramai rakyat yang miskin, tidak mampu ke hospital dan tiada wang. Apa yang wakil rakyat ini buat? Anda sedang main golf ke apa?" kata beliau.