Pas kekal konsisten menjalinkan kerjasama politik dengan UMNO, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau pada masa sama menjelaskan parti Islam itu turut mengalu-alukan sebarang bentuk muafakat politik termasuk pelawaan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyertai partinya.

“Kita (Pas) memang konsisten bersama dengan UMNO. Dalam konsep penyatuan ini, kita harus ingat bahawa UMNO masih menjadi ‘core’ kepada parti politik Melayu Islam di Malaysia.

“Gabungan dua parti ini sebenarnya asas. Kalau parti-parti lain (ingin bersama), mereka harus melihat kepada kekuatan pada UMNO dan Pas. Bagi kita, penyatuan sebenar adalah bersama Pas dan UMNO,” katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Tuan Ibrahim turut mengingatkan parti Melayu lain termasuk Bersatu agar tidak menafikan kekuatan UMNO dan Pas.

Dr Mahathir sebelum ini mempelawa semua parti politik Melayu tempatan untuk menyertai Bersatu bagi menguatkan kuasa politik kaum itu.

Perdana Menteri berkata perkara itu penting kerana ketika ini parti politik masyarakat Melayu terbahagi kepada enam.