"Akhirnya Pakatan Harapan yang akan cukupkan hutang RM1 trilion."

Itu sindiran pedas Anggota Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang menyifatkan pembentangan Belanjawan 2019 hanya cantik pada luaran namun tidak pada hakikatnya.

Beliau berkata meskipun Belanjawan 2019 merupakan belanjawan terbesar yang pernah diumumkan kerajaan, namun ia juga merekodkan defisit fiskal paling banyak iaitu RM54.7 bilion.

"Menteri Kewangan sekali lagi menyebut tentang hutang RM1 trilion. Tetapi realitinya hutang kerajaan pada suku tahun kedua meningkat kepada RM725.2 bilion berbanding RM705 bilion pada suku pertama.

"Baki akaun semasa dalam akaun negara pula mengucup pada suku kedua 2018 kepada hanya RM3.9 bilion atau 1.2 peratus daripada Pendapatan Negara Kasar (PNK) berbanding RM15 bilion atau RM4.5 peratus daripada Pendapatan PNK pada suku pertama 2018," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 di Dewan Rakyat hari ini.

Khairy yang memegang portfolio Menteri Kewangan Kabinet Bayangan BN turut menyentuh mengenai nilai ringgit terus menyusut di mana memberi kesan besar kepada rizab antarabangsa Bank Negara.

Jelasnya, jumlah terkini rizab negara AS$102.8 bilion pada Oktober tahun ini amat membimbangkan yang hanya mampu menampung 0.9 hutang luar negeri bagi jangka pendek.

Sebelum ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendedahkan hutang negara mencecah RM1.08 trilion atau 80.3 berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setakat 31 Disember lalu.