Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Amanah berpegang teguh kepada muafakat Majlis Presiden PH - Dr Dzulkefly

Amanah berpegang teguh kepada muafakat Majlis Presiden PH - Dr Dzulkefly
DR DZULKEFLY: Kita masih kerajaan dan apapun, kita wajar nantikan titah dan keputusan oleh Yang di-Pertuan Agong. Kita masih lagi menjalankan tugas-tugas, tidak ada apa perubahan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (Amanah) masih berpegang kepada pemuafakatan yang telah dibuat bersama dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), kata Pengarah Strategi Amanah Datuk Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau, yang juga Menteri Kesihatan, berkata adalah wajar untuk menantikan titah dan keputusan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk sebarang keputusan mengenai desas-desus pembentukan kuasa politik baharu negara.
Beliau turut difahamkan bahawa Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadap Al-Sultan Abdullah hari ini namun tidak memperincikan tentang pertemuan itu.

"Kita masih kerajaan dan apapun (sebarang keputusan) kita wajar nantikan titah dan keputusan oleh Yang di-Pertuan Agong. Kita masih lagi menjalankan tugas-tugas, tidak ada apa perubahan.
"Yang pentingnya kita berpegang dan bersandarkan kepada keputusan yang dibuat bersama dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH)," katanya kepada media selepas melancarkan Seminar dan Kempen Kesedaran Pengurusan Kelesuan Peringkat Kebangsaan Untuk Anggota Kesihatan, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar.

Sementara itu, Mahfuz yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia yang senada dengan Dzulkefly berkata pihaknya akan menerima sebarang keputusan yang akan dibuat oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau turut menjelaskan bahawa Amanah tidak dijemput untuk menyertai pertemuan bersama Bersatu, Pas dan UMNO yang didakwa bagi membincangkan aturan baharu kuasa politik negara.

-- BERNAMA