Parti Amanah Negara (Amanah) akan terus menjadi platform kepada permuafakatan dalam Pakatan Harapan (PH).

Presidennya, Mohamad Sabu berkata, ia termasuklah menyuarakan pandangan dalam menjamin keutuhan setiap parti komponen PH.

Mohamad Sabu berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan Pidato Presiden pada majlis perasmian Konvensyen Nasional 2019, pada Jumaat.

“Kita memainkan peranan dalam mesyuarakat-mesyuarat dan (memberikan) pandangan, yang penting pengukuhan dalam Pakatan Harapan dan kita akan teruskan memainkan peranan tersebut.

“Soal titik (perbezaan) yang berlaku dalam parti-parti PH, saya yakin mereka (parti komponen) dapat menyelesaikan masalah mereka dengan sebaik mungkin,” katanya pada sidang media di sini.

Terdahulu, Mohamad Sabu yang juga Menteri Pertahanan dalam ucapannya mengakui bahawa terdapat cubaan daripada 'kelompok yang tewas' untuk menggugat perpaduan dalam PH.

Justeru, tegas beliau, Amanah bertekad mengekalkan persefahaman politik dalam PH, selain tidak akan mensia-siakan mandat yang telah diberikan oleh rakyat.

Dalam sidang media sama juga Mohamad Sabu menegaskan mana-mana ahli parti yang menimbulkan kekacauan boleh berdepan tindakan daripada Jawatankuasa Lembaga Tatatertib.

“Kita ada Jawatankuasa Lembaga Tatatertib, jikalau ada aduan yang boleh melanggar peraturan-peraturan yang digariskan dalam parti, maka jawatankuasa tersebut boleh mengambil tindakan ke atas mereka,” katanya.