Mana-mana pihak yang tidak mahu mengiktiraf kerja kuat Tun Dr Mahathir Mohamad diingatkan tidak membuat sebarang langkah biadab untuk menjatuhkan Perdana Menteri.

Ahli Jawatankuasa Biro Komunikasi dan Mobilisasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menegaskan, semua pihak perlu melihat kerja keras Dr Mahathir kini untuk membangunkan semula negara yang dirosakkan oleh kerajaan dahulu.

Jelasnya, ia bukan hanya hanya perlu diletakkan di atas bahu Dr Mahathir namun tanggungjawab serta tindakan kolektif dari semua pihak dalam PH.

"Jangan asyik hendak salahkan Dr Mahathir seorang diri sahaja. Tolong jangan kurang ajar. Dr Mahathir ke luar negara bukan bercuti tetapi lawatan rasmi untuk mendapatkan keyakinan dunia luar bagi membangunkan semula negara.

"Imej Malaysia amat teruk di luar negara serta di seluruh dunia kerana kerakusan kepimpinan kerajaan dahulu yang merompak khazanah dan duit rakyat sehingga kita dikenali sebagai pencetus skandal kewangan yang terbesar di dunia.

"Saya dapat menghidu tindakan tidak bertanggungjawab puak-puak yang kecewa kerana tidak mendapat jawatan dan sedang berusaha untuk menjatuhkan Dr Mahathir," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

BACA: Teguran supaya kita jadi lebih baik - Mahfuz

BACA: 'Perbalahan terbuka' ahli politik fenomena positif - Yusmadi

Pada Sabtu, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pemimpin-pemimpin PH agar menghentikan segera perbalahan terbuka di antara parti, dan sebaliknya memberi tumpuan kepada ekonomi negara.

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menyeru supaya kesemua pemimpin dalam gabungan itu supaya meredakan suasana dan mengelak dari kenyataan-kenyataan negatif.

Jangan asyik hendak salahkan Dr Mahathir seorang diri sahaja. Tolong jangan kurang ajar.

Dalam pada itu tegas Khairuddin yang juga penyelaras Parlimen Jasin, golongan berkenaan perlu melihat sebarang tindakan Dr Mahathir bukan keputusan yang dibuat sendiri.

"Segalanya melalui sistem musyawarah untuk membuat keputusan secara kolektif. Janganlah buat andaian yang tidak berasas dan melulu.

"Sekarang bukan masa untuk berbalah dan merebut jawatan, walaupun tanpa jawatan, pelbagai tanggungjawab boleh dipikul secara terbaik mungkin kerana semua kita mempunyai peranan yang tersendiri," ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairuddin mahu 'parasit' dalam gabungan itu dibersihkan sebelum ia menjadi barah di dalam PH.

"Sekali lagi dalam apa jua keadaan; secara peribadi saya sudah bersiap sedia untuk menghadapi segala kemungkinan bagi mematahkan perancangan jahat mereka untuk menjatuhkan kepimpinan Dr Mahathir.

"Selepas ini seandainya saya 'terhidu' niat serta gerakan jahat puak 'parasit' ini; pada waktu itu, saya akan mendedahkan sesuatu yang kemungkinannya bakal menggemparkan dunia sekali lagi!! Saya akan perangi mereka habis-habisan," tegasnya.