Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor mencadangkan agar Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi dilantik sebagai Exco kerajaan negeri yang baharu.

Pengarah Komunikasi AMK Selangor, Mohd Khairool Ngadon berkata, keputusan mencadangkan nama Ketua AMK negeri dibuat menerusi mesyuarat pimpinan AMK negeri itu yang diadakan pada Selasa.

"Kita mengusulkan kepada Menteri Besar Selangor supaya melantik Mohd Najwan Halimi, sebagai anggota Majlis Mesyuarat kerajaan negeri Selangor yang baharu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Cadangan itu muncul selepas dua jawatan exco kerajaan Selangor kosong kerana salah seorang daripadanya digugurkan keahlian parti manakala seorang lagi berakhir selepas parti yang diwakilinya tidak lagi menjadi sebahagian daripada Pakatan Harapan (PH).

Dua jawatan yang kosong itu adalah jawatan Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar, yang disandang oleh ADUN Lembah Jaya, Haniza Talha sebelum ini .

Haniza bagaimanapun dilucutkan keahliannya daripada PKR.

Manakala satu lagi jawatan Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan yang disandang ADUN Selat Klang yang diwakili wakil rakyat Bersatu, Abdul Rashid Asari.

Selain itu Mohd Kairool berkata, enam perkara diputuskan pada mesyuarat AMK Selangor termasuk usul berkenaan.

"AMK Selangor secara sepakat mengambil ketetapan untuk memperkukuh organisasi AMK di peringkat cabang khususnya dalam penyusunan jentera pilihan raya AMK bagi persiapan menghadapi pilihan raya umum tergempar," katanya lagi.

Selain itu menurutnya, AMK Selangor menyokong pendirian Majlis Presiden PH untuk berusaha ke arah mengembalikan mandat rakyat dengan pencalonan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.

"AMK Selangor menyokong pendirian Majlis Presiden PH untuk berusaha ke arah mengembalikan mandat rakyat dengan Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri," katanya.

Sementara itu, sayap PKR negeri itu juga membuat tiga pelantikan baharu melibatkan lantikan Awalluddin Shariff sebagai Penyelaras AMK Cabang Ampang; Mohammad Ammirul Azahar sebagai Timbalan Ketua Penerangan AMK negeri dan Abdullah Sani Abu selaku Timbalan Ketua Skuad AMK negeri.