Anak Allahyarham Nik Aziz buat kejutan di DUN Chempaka

Anak Allahyarham Nik Aziz buat kejutan di DUN Chempaka
Nik Mohamed Omar sebelum ini memberitahu beliau tidak akan bertanding mewakili PH kerana tidak mendapat restu ibunya Tuan Sabariah Tuan Ishak. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Anak kedua bekas Mursyidul Am Pas Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Muhammed Omar membuat kejutan di hari penamaan calon apabila muncul menyerahkan borang pencalonan untuk bertanding meewakili Pakatan Harapan (PH).

Kemunculan Nik Mohamed Omar ternyata mengejut banyak pihak dan ia merupakan tamparan hebat kepada Pas yang menurunkan Ahmad Fathan Mahmood @ Mahamad yang memenangi kerusi tersebut pada Pilihan Raya Kecil Dun Chempaka selepas kematian Nik Abdul Aziz.

Sebelum ini, pada majlis pengisytiharan calon PH Kelantan pada Khamis, seorang individu bernama Mohammad Omar diumumkan sebagai calon mereka bagi kerusi DUN Chempaka.

Bagaimanapun, kelibat Mohamad Omar tidak kelihatan dipentas utama di Bilik Operasi DUN Kadok untuk diperkenalkan kepada penyokong PH dan wartawan yang membuat liputan.

Nik Mohamed Omar sebelum ini memberitahu beliau tidak akan bertanding mewakili PH kerana tidak mendapat restu ibunya Tuan Sabariah Tuan Ishak.

Pengerusi PH Kelantan, Husam Musa pula pernah mengumumkan Nik Mohamed Omar akan dilantik sebagai menteri besar Kelantan sekiranya gabungan pembangkang membentuk kerajaan di Negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Salah seorang adik Nik Mohamed Omar iaitu Nik Mohamad Abduh merupakan pemimpin Pas yang dikenali lantang mempertahankan pendekatan partinya.

Nik Mohamad Abduh merupakan bekas Ahli Parlimen Pasir Mas dan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini beliau dinamakan sebagai calon yang akan bertanding di kerusi Parlimen Bachok.