Walaupun pergerakannya terbatas dan terpaksa menaiki kerusi roda, seorang anggota polis berpangkat Koperal ini tidak mahu ketinggalan untuk melaksanakan tanggungjawab membuang undi awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau, hari ini.

Zulkefli Md Isa, yang terpaksa berkerusi roda kerana tidak dapat berjalan akibat penyakit kencing manis yang dihadapinya sejak beberapa minggu lalu.

Bagaimanapun, Zulkefli berkata, dia bangga kerana dapat membuang undi walaupun terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda.

"saya gembira dan berbangga apabila dapat mengundi pada hari ini kerana ini merupakan tanggungjawab saya sebagai rakyat Malaysia," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Zulkefli yang bertugas di Balai Polis Arau sudah berkhidmat sebagai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama lebih 30 tahun.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, proses pengundian awal membabitkan 348 pegawai dan anggotanya berjalan lancar.

Koperal Clement Paing, 35 sanggup bertongkat untuk membuang undi hari ini.
Sementara itu, seorang lagi anggota berpangkat Koperal yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang terpaksa menunaikan tanggungjawab itu menggunakan tongkat.

Koperal Clement Paing, 35, berkata, dia yang mengalami kecederaan di lutut akibat cedera ketika bersukan dia tiba sejak jam 9 pagi lagi semata-mata tidak mahu ketinggalan mengundi dengan bantuan rakannya.

"Setiap kali pilihan raya, saya tidak pernah lupa menunaikan tanggungjawab. PRU-14 ini adalah kali ketiga saya mengundi. Saya bersemangat sebab ini tanggungjawab kita sebagai pengundi di sini," katanya ketika selepas membuang undi awal di Dewan Badminton Kompleks Logistik Polis Alor Akar, di sini, hari ini.