Semua anggota UMNO khususnya yang berada dalam barisan kepimpinan diminta mendendangkan kisah kejayaan parti pada setiap masa dan bukan hanya memberi respons apabila ada kritikan.

Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata perkongsian kisah kejayaan itu dapat membuka mata orang ramai khususnya orang Melayu dan anggota parti amnya mengenai usaha UMNO membela nasib mereka.

"Ia akan jadi tugas anggota untuk menceritakan rekod dan kejayaan UMNO kepada rakyat termasuk usaha pucuk pimpinan, misalnya dalam ekonomi merudum tetapi Malaysia tetap mampu bertahan.

"Jangan malu untuk dendangkan kejayaan itu kerana pembangkang pasti akan terus memainkan isu tertentu seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan dan 1Malaysia Development Berhad untuk mempengaruhi rakyat," katanya.

Annuar bercakap kepada pemberita selepas merasmikan secara serentak mesyuarat Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO cawangan bagi Bahagian Bagan Serai di sini pada Ahad.

Annuar turut meminta pemimpin akar umbi menjadikan mesyuarat cawangan UMNO yang bermula Rabu lalu sebagai medan untuk menjelaskan dan menyelesaikan segala permasalahan berkaitan parti dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

"Tumpukan pada penghayatan dan perjuangan parti, rapatkan saf kerana dengan cara itu pemimpin kita akan menjadi kuat dan kita lebih bersiap sedia hadapi PRU-14.

Ditanya mengenai dakwaan segelintir pihak bahawa UMNO lambat dalam menjawab sesuatu isu, Annuar berkata parti perlu mengumpulkan fakta yang tepat sebelum melakukan penjelasan.

"Realiti telah berubah, sekarang orang fitnah guna hujung jari tapi hendak menjawab kena kumpul fakta sebab itu proses menjawab tidak secepat proses memfitnah," katanya.

Mesyuarat UMNO peringkat cawangan bermula pada 15 Mac lalu sehingga 30 April depan. -- Bernama